my greatest grandma in the world
Oleh RAHANA MD
..>..>..>..>..>..>..>..>
|
|
Jika dahulu, kala usia muda dan tubuh sihat , Esah melakukan banyak kerja seperti menoreh, bersawah, berkebun, menjual kuih-muih dan membuat jamu kampung untuk membantu pendapatan suami.
Kini dalam usia yang semakin lanjut, Esah masih menggunakan kudrat empat kerat melakukan kerja-kerja rumah di samping meneruskan pembuatan jamu untuk dijual kepada penduduk kampung berhampiran.
Beliau juga diberi jolokan `menteri kebajikan' kerana sering mengambil berat tentang jiran tetangga dan saudara mara serta menghulur sumbangan kepada golongan yang susah.
Wajahnya yang sentiasa tenang dan menguntum senyuman itu bagaikan ubat paling mujarab kepada 17 orang anak-anaknya untuk menumpang kasih dan belaian seorang ibu.
Katanya tidak ada rahsia di sebalik kejayaan mendidik anak hingga 14 daripadanya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan selebihnya ke politeknik.
Namun berpegang kepada bidalan, hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah, hubungan dengan anak-anak dan suami tercinta, Sulaiman Saipin 74, semakin erat dan kukuh.
Esah ditemui selepas menerima anugerah Ibu Mithali 2007 daripada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.
Anugerah tersebut diperkenalkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai acara tahunan sejak 1980.
Esah menerima hadiah wang tunai bernilai RM25,000, plak, senaskhah al-Quran, pakej umrah, sijil simpanan premium RM1,000, barang kemas bernilai RM8,000, loket, selendang dan jubah.
Esah, wanita yang kaya dengan pengalaman hidup membesarkan anak-anaknya dilahirkan di Sungai Petani, Kedah dan kini menetap di Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, Kedah.
Kejayaan mengasuh dan membimbing anak-anak dalam ilmu agama dan akhirat dikagumi kerana pasangan suami isteri ini buta huruf.
Bersuamikan lelaki yang bekerja kampung dan mempunyai zuriat yang ramai, Esah tidak berpeluk tubuh menanti kepulangan suami membawa makanan mereka sekeluarga.
"Saya percaya dan yakin rezeki ada di mana-mana dan ketika anak-anak masih kecil kami hidup susah tetapi saya dan suami pastikan kami makan setiap hari.
"Walaupun hanya pisang lenyek yang disumbat ke mulut anak-anak ketika kecil, mereka tetap sihat. Anak ramai, jadi buat kuih pun banyak, misalnya saya beli dua kilogram tepung buat kuih talam dan kalau beli biskut sampai satu tin besar.
"Saya berusaha mencari pendapatan dengan membuat pelbagai kerja kampung termasuk membeli kain ela, dipotong-potong untuk dibuat sapu tangan bersulam.
"Saya rebut apa sahaja perniagaan yang ada, contohnya jika ada kantin baru dibuka, saya goreng bihun dan hantar ke sana, selebihnya saya bawa menoreh dan jual kepada teman-teman,'' ujarnya.
Mengakui tidak tahu membaca dan menulis namun beliau sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak untuk belajar dan menemani mereka hingga larut malam.
"Apabila anak-anak balik dari sekolah, saya suruh mereka belajar dan berhenti untuk bermain, malam sambung belajar lagi,
"Sebagai ibu, hati lembut sedikit tetapi suami saya cukup garang, anak-anak langsung tidak diberi peluang. Kalau mereka bergaduh sesama sendiri atau tidak belajar sebaik pulang daripada sekolah, memang kena rotan atau tali pinggang,'' katanya.
Ditanya bagaimana mengeratkan ikatan persaudaraan dengan jumlah anak yang ramai, Esah berkata, jangan sesekali membenarkan anak-anak tidur di rumah orang lain walaupun saudara sendiri.
"Ramai yang ingin membantu, tetapi saya dan suami elakkan anak-anak bermalam di rumah orang lain supaya mereka rasa susah dan senang bersama,'' jelasnya.
Dilahirkan dalam keturunan Jawa, Esah mengaku masih kuat berpegang dengan amalan dan pantang dalam penjagaan tubuh.
"Saya buat dan makan jamu sejak muda, syukur badan sihat dan kuat sampai ke hari ini.
"Saya berkahwin ketika usia 16 tahun, muda dan kosong pengalaman namun dalam pelajaran anak-anak saya tidak bertolak ansur.
"Syukur kerana semua anak-anak berjaya dalam bidang masing-masing,'' katanya.
Dikurniakan 84 cucu dan 13 masih belajar di universiti, dan seorang cicit, Esah berbangga kerana berkat didikan beliau dan suami, hubungan kekeluargaan mereka cukup erat dan sentiasa berhubung satu sama lain untuk bertanya khabar.
Senarai nama anak, kelulusan dan pekerjaan
- Ishak Sulaiman - pesara tentera
- Yahaya Sulaiman - pesara tentera
- Ahmad Sulaiman (Universiti Perguruan Sultan Idris) - Guru
- Abd. Malek Sulaiman (Universiti Sains Malaysia) - Guru
- Abdul Aziz Sulaiman (Universiti Putra Malaysia) - Pegawai Pendidikan
- Rosilah Sulaiman (Maktab Pergurunan Sultan Abdul Halim) - Guru[makku]
- Saffinee Sulaiman (Universiti Putra Malaysia) - Penolong Pegawai Alam Sekitar
- Zulbahar Sulaiman (Universiti Malaya) - Guru
- Zulkifli Sulaiman (Universiti Putra Malaysia) - Penguasa Kastam
- Shahabudin Sulaiman (Universiti Teknologi Mara) - Jurutera
- Abdul Talib Sulaiman (Universiti Putra Malaysia) - Guru
- Mohd. Noor Sulaiman (Universiti Putra Malaysia) - Pengurus Ladang
- Ainon Sulaiman (Universiti Utara Malaysia) - Akauntan
- Noraini Sulaiman (Universiti Malaya) - Pensyarah
- Nor Aida Sulaiman (Universiti Utara Malaysia) - Akauntan (tinggal di Mesir)
- Abu Bakar Sulaiman (Universiti Putra Malaysia) - Chef (tinggal di Perancis)
- Norhana Sulaiman (Universiti Utara Malaysia) - Pengurusan Perniagaan
inilah nenekku..;)
Comments